Antara Pemimpin Berwibawa Dengan Populis


Baru-baru ini tertimbul berita viral di mana seramai 779 orang guru di Johor telah menolak vaksinasi Covid-19. Tanpa melengahkan masa, DYAM Tunku Mahkota Johor telah dengan pantasnya bergerak untuk mengadakan perjumpaan bersama kesemua para guru tersebut untuk cuba mencari penyelesaian dan menggalakkan mereka untuk mengambil vaksin tersebut kerana sekolah dijangka akan buka semula pada bulan Oktober nanti.


Sumber: https://twitter.com/NaratifRakyat/status/1430526054532194308?s=19

Dalam kes guru menolak vaksin Covid-19, mungkin mereka mempunyai keraguan yang munasabah atau masalah kesihatan, jadi tidak wajar untuk menjatuhkan hukuman terhadap mereka tanpa memahami situasi sebenar. Pendekatan ini telah diambil oleh DYAM Tunku Mahkota Johor dalam usaha mencari penyelesaian yang membawa kemenangan untuk semua.

Dalam bidang kepimpinan, ciri-ciri kewibawaan seseorang pemimpin adalah kemahiran beliau dalam menilai tindakan dan cara penyelesaian yang paling berkesan dan adil kepada semua pihak. Kita perlu memberi ruang supaya semua pandangan dapat didengar kerana kadang kala kemungkinan adanya kemusykilan yang menghalang seseorang daripada membuat sesuatu.

Baginda juga memainkan peranan penting dalam gesaan kepada kerajaan untuk meningkatkan lagi bekalan vaksin kepada Negeri Johor. Ini adalah bertepatan dengan hala tuju Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) supaya kadar vaksinasi dapat dipertingkatkan agar imuniti kelompok boleh dicapai lebih awal berikutan hanya vaksinasi yang dapat membendung varian Delta sedang menular.

Bukan itu sahaja, baginda juga menggalakkan penglibatan belia melalui Southern Volunteers untuk membantu pusat-pusat vaksinasi di negeri ini dalam usaha memerangi Covid-19.

Kebelakangan ini kita juga nampak Syed Saddiq, Ahli Parlimen Muar yang kerap mencurahkan minyak ke dalam api yang membara dengan ajakan bertindak “Lawan”dan berdemo di jalanan. Sungguh tidak masuk akal! Walaupun ketika pandemik semakin menekan negara, beliau tidak kisah, asalkan kelangsungan karier politik beliau mendapat talian hayat. Kerana nafsu serakah gilakan kuasa, nyawa rakyat menjadi gadaian?

Syed Saddiq sentiasa cuba mengambil hati orang muda dengan retorik beliau yang ketengahkan isu-isu hangat. Akan tetapi, beliau sebenarnya tidak mempunyai penyelesaian terhadap isu-isu itu, malah setakat memberi pengulasan sahaja. Sudah beberapa kali ini kelihatan di persada politik kebangsaan. Daripada pandainya menunggang isu, apakah usaha beliau dalam betul-betul mencari penyelesaian?

Katanya ingin “membersihkan” politik Malaysia, adakah beliau mempunyai pelan tindakan mahupun integriti untuk ‘walk the talk’? Tidak, sebaliknya Syed Saddiq sendiri terpalit dalam gejala rasuah dengan empat tuduhan penyelewengan duit yang bakal dibicarakan di mahkamah! Itu pun beliau dapat meraih simpati dan derma dari rakyat dengan menyatakan bahawa tuduhan-tuduhan itu berunsur politik. Bukankah ia penghinaan terhadap mahkamah? Jika beliau berani kerana benar, mengapakah beliau perlu membuat kenyataan begitu? Dimanakah buktinya?


Satu lagi contoh, isu telefon pintar yang meletup. Begitu pantasnya beliau memuat naik hantaran di media sosial yang mendakwa kebakaran sebuah rumah berpunca dari telefon yang meletup. Akhirnya beliau ditibai oleh warganet kerana tidak mengesahkan terdahulu kejadian itu. Dari asalnya bersemangat sangat mengejar isu ini, akan tetapi sudah hampir empat bulan isu ini berlangsung tanpa sebarang kesudahan oleh pihak Syed Saddiq.

Sumber: https://twitter.com/Iskandr_Zulqar9/status/1425646203983720453

Baru-baru ini, tular juga video beliau mengenai situasi di Afghanistan. Sejak bila beliau menjadi pakar geopolitik Afghanistan? Apakah ini hanya cubaan beliau mengalihkan perhatian daripada kes-kes mahkamahnya dan cuba memaparkan dirinya sebagai seorang diplomat? Jika seseorang pemimpin ingin mengungkit sebarang isu, baik beliau turut ada penyelesaian terhadap isu itu. Jangan membuat para rakyat naik darah dan selepas itu biar sahaja masalah berterusan. Dalam dunia politik, ini dipanggil populis. Syed Saddiq adalah seorang populis. Rakyat perlu menilai sama ada beliau ini betul-betul ingin membantu rakyat dan membersihkan politik negara atau hanya berbuat demikian untuk kekal relevan dalam politik.

Sumber: https://twitter.com/KhairulNaimJ99/status/1429478832138973184

Ingat, Syed Saddiq seorang yang suka berdrama. Beliau ini tiada lebihnya daripada penunggang isu demi kelangsungan kerjaya politiknya. Wajarnya kita sebagai rakyat untuk mengundi pemimpin muda yang bukan sahaja mahir membangkitkan isu, malah dapat mencari penyelesaian yang adil dan saksama. Syed Saddiq bukanlah pemimpin yang kita perlukan.

Comments